Tuesday, March 3, 2009

Keamanan dan Pengharapan

Perasaan aman dalam kehidupan sentiasa dingini oleh setiap orang yang pernah singgah di dunia, sebuah daerah yang sedang menanti kemusnahannya. Orang yang tidak mendapat petunjuk juga sentiasa berusaha memastikan kehidupan mereka di dunia ini sempurna dan penuh kebahagiaan. Maka mereka sanggup mengabdikan diri dengan bekerja siang dan malam untuk mengaut kekayaan di bumi yang fana’ ini. Sebahagian yang lain bersuka ria tanpa mengira batas-batas kemanusiaan. Amatlah dikesali apabila terdapat sebahagian yang mengaku muslim berada dalam dua kelompok tersebut. Inilah gambaran kerakusan hawa nafsu manusia yang tidak mengenal jalan keamanan dan jurang kehancuran.
Ketahuilah ikhwati al-mukmin, bahawa sesungguhnya tidak ada keamanan melainkan ketaatan yang sepenuhnya kepada Allah dan Rasul Al-Mustofa. Tidak ada kebahagian melainkan untuk orang yang beriman dan beramal soleh. Mereka yang cuba meraih keamanan dan kebahagian tanpa ingin melalui jalan ketaatan dan keimanan hanyalah ibarat mereka yang mencari air di bawah keterikan sinar mentari di gurun yang luas. Yang mereka peroleh setelah puas berlari mencari air hanyalah fatamorgana. Yang mereka temui setelah puas menggali hanyalah pasir yang bertimbun.
Manusia akan sentiasa merasa tidak puas dengan segala kurnia kecuali kematian. Mereka akan terus bersikap keluh kesah terhadap kehidupan mereka. Sehingga jika dikurniakan selembah emas mereka berharap yang kedua. Namun orang yang beriman, merasai bahawa Allah telah menganugerahkan rezeki yang tidak terhitung banyaknya daripada pelbagai penjuru hidupnya. Mereka menyedari bahawa setiap sesuatu daripada sekecil-kecil nikmat sehinggalah sebesar-besar nikmat iaitu berupa keislaman dan keimanan ialah anugerah Allah yang dikurniakan secara percuma. Perhatikan ayat ini yang menggambarkan maha kasihnya Allah terhadap hamba-hambanya dan betapa sebahagian makhluknya berisikap angkuh dalam kejahilan:

20. tidakkah kamu memperhatikan Bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa Yang ada di langit dan Yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada Kami nikmat-nimatNya Yang zahir dan Yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang Yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah Dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk; dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah Yang menerangi kebenaran.(Luqman:20)

12. Allah Yang memudahkan laut bagi kegunaan kamu, supaya kapal-kapal belayar padanya Dengan perintahNya, dan supaya kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya, dan juga supaya kamu bersyukur.13. dan ia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, Segala Yang ada di langit dan Yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadanya; Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum Yang memikirkannya Dengan teliti.(Al-Jathiyah:12-13)

33. dan dalil Yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan kami), ialah bumi Yang mati; Kami hidupkan Dia serta Kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan.34. dan Kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur, dan Kami pancarkan padanya beberapa matair,35. supaya mereka makan dari buah-buahannya dan dari apa Yang dikerjakan oleh tangan mereka; maka Patutkah mereka tidak bersyukur?36. Maha suci Tuhan Yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari Yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa Yang mereka tidak mengetahuinya.(Yaasin:33-36).
Justeru, orang beriman sentiasa merasa puas dengan segala kurnia daripada Sang Pencipta. Mereka melihat dengan mata yang telah dianugerahkan Allah akan kesan-kesan nikmat tuhan pada diri mereka dan pada alam ini. Mereka juga merasa dan menikmatinya melalui mata hati yang jernih dengan nur iman. Lantas mereka menjadi golongan yang sangat bersyukur dengan segala kurnia dan menjadi sangat sabar dengan segala kekurangan. Sungguh merekalah golongan yang paling kaya kerana dilengkapi sikap qana’ah. Qana’ah bukanlah sikap senang dengan segala kekurangan dan kelemahan tetapi ialah penawar bagi penyakit tamak dan haloba.
Secara fitrahnya manusia sentiasa merasa cemas dengan segala kemungkinan yang akan berlaku dalam kehidupan mereka. Justeru, menjadikan manusia memerlukan tempat untuk bergantung. Orang yang beriman sentiasa bergantung harap kepada Allah, tuhan yang menguasai alam ini.Mereka sama sekali tidak akan bergantung kepada selain-Nya kerana perbuatan tersebut hanyalah sia-sia sahaja. Seperti firman Allah:

41. misal bandingan orang-orang Yang menjadikan benda-benda Yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan pertolongannya) adalah seperti labah-labah Yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya); padahal Sesungguhnya sarang-sarang Yang paling reput ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang Yang berpengetahuan.

Orang yang beriman tidak pernah gentar menghadapi kehidupan ini dengan penuh sabar dalam ketaatan kepada tuhannya kerana mereka sangat yakin dengan janji tuhan mereka yang maha benar. Ejekan dan cacian makhluk yang daif tidak pernah melemahkan semangat dan mengubah pendirian mereka kerana yang mereka harapkan ialah keredhaan Allah semata-mata. Mereka ialah golongan yang mempunyai motivasi yang luar biasa untuk berjuang kerana tiada istilah berputus asa dalam lembaran hidup mereka. Mereka akan terus mengharap keampunan, rahmat, dan kebahagian daripada Allah tanpa meratapi takdir yang telah ditentukan . Demikianlah tingginya pengharapan yang tidak bisa padam dengan sebarang musibah. Kata Syeikh Yusuf Qardawi “Pengharapan yang sentiasa menyala hanyalah kerana iman dan percaya akan pertolongan tuhan, sebagaimana dijanjikan dalam Al-qur’an:

5. Dengan kemenangan Yang diberi Allah. ia memberi kemenangan kepada sesiapa Yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.6. demikian dijanjikan Allah. Allah tidak pernah mengubah janjiNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat Yang sebenarnya).(Ar-Rum:5-6)”
“Ya Allah masukkanlah diri ku, keluarga ku, ikhwah ku,dan seluruh umat rasul mu dalam kalangan orang yang beriman kerana kami ingin sekali merasai keamanan dan pengharapan yang sebenar-benarnya kepadaMu”

sumber usrah:ttp://muslimkaffah.blogspot.com

0 comments:

Carilah video bermanfaat ,hati-hati , tapis sendiri.